Munshi Abdullah is a ‘genius of his own’, interested in technology and not pro-Western
March 2, 2021
(Article is in Malay Language)
27 February 2021, BERITA Mediacorp
Munshi Abdullah adalah 'genius tersendiri', minat teknologi dan bukan pro-Barat
Oleh: IRA MUSFIRAH
SINGAPURA: Tahukah anda, Munshi Abdullah bukan setakat seorang tokoh persuratan sahaja, malah beliau juga seorang 'genius' tersendiri yang cukup berminat dengan teknologi serta bukan pro-Barat.
Demikian antara hujah-hujah beberapa sarjana terkemuka Asia Tenggara mengenai ketokohan Munshi Abdullah, atau nama sebenarnya Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi, yang kini diberi perspektif-perspektif segar dan baru.
Bapa kesusasteraan Melayu moden itu menerusi pelbagai penulisannya pada separuh pertama abad ke-19, banyak merakamkan tentang sejarah Singapura dan Asia Tenggara.
Namun sejarawan-sejarawan Barat turut memaparkan Munshi Abdullah sebagai seorang yang pro-Barat serta bergantung kepada penaung-penaung penjajah Inggeris.
"Saya rasa bahawa ia tidak tepat dan berbaur Orientalis," tegas Prof Madya Farish Noor, sarjana dan sejarawan Asia Tenggara.
"Dewasa ini kalau kita melihat bagaimana Munshi Abdullah dikaji kembali dan dibaca kembali, khususnya daripada ilmuan-ilmuan Asia Tenggara sendiri, kita dapat lihat bahawa sebenarnya beliau mempunyai suara dan pendirian yang lebih kukuh dan tidak begitu kagum kepada kuasa kolonial Eropah pada waktu itu. Kita dalam proses menilai kembali, pendapat belia, idea beliau, legasi warisan yang ditinggalkan beliau."
Prof Madya Farish merumuskan bahawa Munshi Abdullah adalah seorang individu yang "jauh lebih kompleks dari yang kita sangka".
Penilaian semula tentang ketokohan Munshi Abdullah itu dibincangkan hari ini (27 Feb) dalam satu sesi mengupas buku ilmiah dua jilid terbaru berjudul 'Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi' tulisan sarjana pengajian Melayu terkemuka, Prof Madya Hadijah Rahmat.
Prof Madya Farish merupakan antara anggota panel sesi itu berlangsung di Perpustakaan Negara, selain sejarawan terkemuka Prof John Miksic, pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Azhar Ibrahim dan konsultan perniagaan antarabangsa Tengku Sri Indra.
Buku itu, yang mengambil masa 25 tahun untuk dihasilkan, adalah kajian paling komprehensif mengenai Munshi Abdullah yang pernah dibuat sejauh ini.
Ia cukup kaya dengan pelbagai sudut pandangan baru tentang tokoh tersebut dan menyatukan banyak bahan arkib baru dari Eropah, Amerika Syarikat dan Indonesia yang belum diteroka sebelum ini.
Dalam pencerakinan beliau pula Prof John Miksic menarik perhatian betapa Munshi Abdullah punya kerjaya yang panjang iaitu selama 30 tahun.
Dalam tempoh itu, Munshi Abdullah katanya didapati memaparkan idea-idea yang berubah dan berkembang.
"Apabila beliau mendapat lebih banyak idea tenang teknologi contohnya. Beliau bukan setakat sarjana persuratan - beliau juga seorang teknisyen, tahu bagaimana mengendalikan mesin cetak dan mengajar orang Melayu lain bagaimana mencetak buku. Beliau juga berminat tentang perkara seperti kapal wap.
"Jadi kita tahu beliau bukan minat dalam sastera sahaja, tetapi juga perkara-perkara yang praktikal," kata pengkaji terkenal itu yang merupakan Profesor Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Bagi Prof Madya Hadijah sendiri, beliau bermotivasi untuk mengkaji dan menulis buku itu kerana ada banyak persoalan dan kontroversi berkenaan tokoh persuratan abad ke-19 itu yang belum terjawab sebelum ini
"Jadi saya rasa perlu untuk mencari hakikat sebenar mengenai tulisan beliau (Munshi Abdullah) dan latar belakang beliau supaya kontroversi itu dapat dijawab.
"Bahan-bahan yang dikaji itu tak ada di Singapura, ada di Eropah, di Amerika dan di Indonesia dan di beberapa tempat yang lain. Jadi saya terpaksa mengembara, merentas lautan dan benua, untuk melihat dan meneliti karya-karya tersebut dan penelitian itu memerlukan masa. Dan saya mengambil cuti belajar (sabbatical)sebanyak dua kali, untuk melakukan kajian-kajian ini," cerita Prof Madya Hadijah kepada BERITAmediacorp.
Antara sumber-sumber utama yang diperolehinya adalah daripada Sekolah Pengajian Ketimuran dan Afrika, Universiti Harvard dan Perpustakaan Nasional Indonesia.
Yang pasti, para sarjana itu percaya Munshi Abdullah adalah tokoh intelektual yang melihat pentingnya sejarah.
Menurut Prof Madya Farish, kisah Munshi Abdullah "masih relevan buat kita pada zaman ini".
"Khususnya bagaimana beliau melihat pentingnya sejarah, sifat rasional, akal fikiran, pentingnya inovasi baik dalam bidang kerja mahupun dalam bidang ekonomi. Saya rasa ini merupakan idea-idea yang masih relevan. Malah lebih relevan pada wkatu itu.
"Jadi kerana itulah saya sarankan anak-anak muda dan ilmuan-ilmuan membaca buku ini dan dapat sudut pandangan yang berbeza daripada apa yang kita ketahui 20, 30 tahun yang lalu," tambah pemikir Asia Tenggara itu.
Prof Miksic pula menarik perhatian betapa sebagai seorang intelek pada zamannya,
Munshi Abdullah mementingkan akal serta mengetengahkan hujah dan analisis logikal tentang "dialog-dialog semasa" dalam masyarakat beliau ketika itu.
Penulis "Hikayat Abdullah" juga banyak memberi reaksi kepada "semua evolusi baru yang berlaku pada awal tahun-tahun 1800-an.
"Abdullah sentiasa menekankan 'akal' dan bukan khayalan... Beliau sentiasa sangat prihatin dengan realiti dan tidak mengada-adakan sesuatu.
"Tulisan beliau sentiasa mengenai sebahagian daripada hujahdan dialog-dialog yang sedang berlangsung dalam masyarakat. Ini sangat baru bagi zamannya... bagaimana beliau melaksanakannya beberapa idea baru buat pertama kalinya.
"Beliau kelihatannya tidak dipengaruhi oleh sesuatu yang tertentu dalam kerjanya. Dia kelihatannya, sebilangan orang menyifatkannya sebagai 'genius' tersendiri. Beliau tidak begitu dipengaruhi oleh sesiapa. Beliau seorang yang unik," menurut Prof Miksic semasa berkongsi pandangannya kepada BERITAmediacorp.
Kini, dengan lahir sudah kajian dan buku yang dianggap sebagai suatu penerobosan mengenai Munshi Abdullah, Prof Madya Hadijah memendam dua keping harapan.
"Harapan saya yang pertama adalah masyarakat akan membacanya, menelitinya dan membahaskannya sebab nilainya akan menjadi sia-sia jika tidak dibaca oleh masyarakat. Dan jangan pula sampai orang luar dan masyarakat lain membaca dan mendapat manfaat sementara masyarakat kita tidak mempedulikannya.
Kedua, ujar Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia Institut Pendidikan Nasional NTU itu, beliau berharap agar akan ada golongan generasi muda yang meneruskan pengajian mengenai Munshi Abdullah dari sudut-sudut yang berbeza.
Buku 'Abdullah Bin Abdul Kadir Munshi' yang meliputi dua jilid itu boleh anda beli di kedai-kedai buku utama ataupun secara naskhah elektronik bermula S$72.
- BERITAmediacorp/ha
by