COMMENTARY: Understanding Labor Day – stories of workers, ideals of justice and well-being

COMMENTARY: Understanding Labor Day – stories of workers, ideals of justice and well-being

April 30, 2021

(Article is in Malay Language)

29 April 2021, BERITA Mediacorp

KOMENTAR: Pengertian Hari Buruh - cerita pekerja, cita keadilan dan kesejahteraan
Oleh: DR AZHAR IBRAHIM ALWEE

BERITAmediacorp: Hari Buruh 1 Mei sebagai hari keramat untuk kita saling beringat dan fikirkan kesejahteraan dan kebajikan yang lebih besar dalam masyarakat.

Dalam sejarah, banyak pergerakan untuk mencapai keadilan telah digerakkan oleh para pekerja, yang dipimpin oleh tokoh-tokoh politik, cendekiawan dan kepimpinan kesatuan sekerja. Wajar dikatakan tiada gerakan dalam masyarakat yang akan berjaya sekiranya para pekerja tidak dirangkul sama.

Namun pada realitinya, para pekerja bukan semena-mena memasuki pergerakan itu dan ini. Yang menjadi keprihatinan utama mereka ialah soal upah yang munasabah, jaminan sosial serta kebajikan yang diperuntukkan kepada mereka.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang turun dari langit, tetapi harus didapatkan, direncanakan dan dinegosiasikan antara pekerja, majikan dan pemerintah.

Perundangan yang diatur oleh pemerintah adalah sangat penting untuk memastikan hak pekerja terus terjamin. Dasar majikan yang lebih pro-pekerja harus terus digalakkan lewat insentif yang ditawarkan pemerintah.

Tambah lagi, bila nurani masyarakat menyebar kukuh, setidaknya kita dapat pastikan keprihatinan yang lebih manusiawi.

Namun tidak kurang pula dalam sejarah dan pengalaman semasa menunjukkan sesetengah pemerintah dan majikan bersekongkolan. Contohnya bila upah rendah dan pemotongan kemudahan kepada para pekerja atas sebab penjimatan kos, dan itu dilegitimasikan.

PENGIKTIRAFAN PEKERJA

Hari Buruh yang disambut seluruh dunia pada setiap 1 Mei setiap tahun adalah hari pengiktirafan kepada setiap pekerja. Ia juga hari perenungan tentang perjuangan mendapatkan hak para pekerja.

Renunglah dari sejarah, betapa pernah tercatat nasib kuli yang tidak terbela. Mereka diinjak dan mereka diperah selasak-lasaknya.

Pada awal abad kesembilan belas, Tuan Simi yang menulis “Syair Potong Gaji” mengungkapkan penderitaan para kuli asal Bengkulu yang bekerja dengan Kompeni Hindia Timur Inggeris di Singapura.

Dengan perubahan dasar Kompeni yang berpangkalan di Bengal yang mengarahkan penjimatan demi memaksimumkan laba, upah para kuli dipotong, sedang kerja mereka dilipat-gandakan, dengan kondisi kerja kian memburuk.

RINTIHAN DAN KELUHAN

Rintihan para kuli yang tercatat dalam syair tersebut, bisa saja dapat kita kaitkan dengan keluhan yang mungkin kita dengar hari ini. Perhatikan, bait sebegini:

“Gaji pun dipotong kerja-kerja ditambah
Tempat pekerjaan ditukar dipindah
Di manakah hati sekalian tak gundah
Kerja yang bertiga seorang sudah”

Yang paling menyedihkan ialah keberadaan mereka tidak dipandang langsung

“Perasaan hati sangatlah rendah
Kebajikan dibuat tidak berfaedah
Beberapa lamanya bekerja sudah
Harganya dinilai setimbang ludah”

Dengan peredaran zaman, kebajikan para pekerja dari zaman kolonial beralihan menjadi sedikit membaik setelah kemerdekaan tercapai. Proses pembangunan memberi peluang yang lebih menjanjikan dan dunia azab itu telah kita tinggalkan, sehingga Usman Awang menyebut sedemikian sempena Kemuncak Afro-Asia pada 1955:

“Dulu kita dipaksa jadi tukang sapu,
Tuan-tuan gemuk bayar gaji sambil goyang kaki,
Ada sahabat belakangnya dicemeti,
Jadi lembu pedati kerja tanpa gaji.”

MENGINGATKAN PENDERITAAN

Itulah nasib pekerja zaman berlalu. Namun pada 1971, puisi “Satu Mei” oleh Usman terungkap menggigit kerana mengingatkan penderitaan yang masih membelenggu pekerja yang “menyusun lapis-lapis besi waja,”; yang “membunyikan mesin-mesin kilang.” Namun mereka yang bekerja hempas pulas ini “upah yang diterimanya sekadar besar segenggam.”

Begitulah tantangan yang dihadapi pekerja di saat ekonomi dunia tidak menentu, memberi tekanan fizikal dan mental. Bayangkan hari ini bukan saja para pekerja harus terus memastikan hak untuk menjaga periuk nasi dan kebajikan mereka, malah juga “bekas” pekerja yang baru dibuang kerja, atau yang lama menganggur. Ramai yang pernah bekerja tetapi penyusunan semula industri, serta syarikat yang gulung tikar, terus berlaku di sana sini.

Juga pekerja dalam sektor yang dipanggil 'gig economy', yang mekar menyebar hari ini yang upahnya mungkin menarik dalam jangka pendek, namun tidak memberi jaminan dalam jangka panjang.

Kerana dianggap sebagai pekerja sambilan, tiadalah hak yang tercantum kepada kontrak kerja mereka. Dengan tiada cuti, dan tiada kebajikan, mereka berkerja terus untuk menyambung kehidupan.

LEBIH TERHEMPIT

Dalam dekad-dekad mendatang, kita bisa bayangkan betapa mereka yang berada dalam sektor ini akan lebih terhempit sekiranya ekonomi meleset. Sesuatu yang munasabah dan adil harus difikirkan untuk golongan ini, menjangkau konvensi yang selalu menyebut “pelatihan semua demi mempertingkatkan produktiviti.”

Rata-rata dengan aturan ekonomi neoliberal yang manteranya adalah kos rendah, produktiviti tinggi dan efisiensi, kebajikan pekerja makin tidak terjamin, kerana sistem kontrak ertinya bila-bila masa saja pembuangan kerja boleh berlaku atau penyambungan kontrak tidak tersedia lagi.

Sebaliknya untung syarikat korporat melambung naik, dengan gaji golongan eksekutif di atas makin membesar dengan imbuhan yang berbagai-bagai. Yang dibawah pula kerja menambah dan upah tidak berubah-ubah.
Dengan upah tidak meningkat sedangkan inflasi meningkat, kesejahteraan pekerja semakin tergugat. Dalam negara di mana yang tiada keterjaminan perundangan dari penguasa, kondisi pekerja bertambah teruk.

Hari ini suasana dan kesadaran moral dalam masyarakat dan di peringkat global kian kuat diseru dan diaju. Rata-rata orang awam kuat menolak segala bentuk perhambaaan, perdagangan manusia, perlecehan kepada pekerja asing, pencerobohan alam persekitaran yang merosak ekologi, dasar dan praktis rasis yang dilakukan oleh penguasa keselamatan.

KEWAJIPAN BERSAMA

Pastinya kesadaran berpihak kepada para pekerja yang dilayan buruk oleh majikan dan pelanggan sangat tidak ditoleran. Satu sisi ia adalah petanda baik bahawa melayani para pekerja dengan manusiawi adalah kewajipan bersama.

Di era COVID-19 ini, dengan ketidaktentuan sangat dirasakan, kebajikan para pekerja adalah antara paling genting untuk ditangani dan diperhatikan.

Dengan terlumpuhnya kegiatan ekonomi, banyak syarikat yang gulung tikar, dan ada yang terpaksa membuang pekerja. Pastilah pekerja yang di peringkat bawahan yang paling terjejas sekali, kerana simpanan mereka pasti tidak mencukupi, itupun kalau ada yang menyimpan.

Rata-rata pekerja peringkat bawahan menerima upah setakat cukup makan, minum dan pakai seadanya, tanpa ada lebihan untuk disimpan. Dengan golongan ini makin terjejas, bayangkan pula penderitaan yang dihadapi oleh keluarga mereka yang perlukan makanan dan tempat teduh.

KESEJAHTERAAN PEKERJA

Di sinilah jaminan sosial yang direncana pemerintah masing-masing sangat penting. Memastikan upah yang sewajarnya kepada para pekerja harus menjadi kepedulian utama. Kesejahteraan mereka harus dapat dijamin, termasuk kesihatan mental dan fizikal.

Ini semua harus dilakukan sebagai pertanggungjawaban dan bukan setakat “ihsan” atau charity kepada mereka. Hak mereka mendapat keadilan dalam bayaran upah dan kemudahan lain harus menjadi pertimbangan dari majikan dan pemerintah. Itu harus dipertekankan terus.

Masyarakat yang maju dan produktif memerlukan pekerja yang sihat, kreatif, bertenaga, cukup istirahat, dan tenang fikirannya. Upah saja belum menjamin. Kebajikan lain seperti sokongan psikologi, pelatihan semua, pendidikan sepanjang hayat dan kegiatan riadah dan sukan, harus sama mendapat perhatian oleh pihak majikan.

Pekerja adalah manusia, yang sama seperti yang lain, yang mempunyai keluarga, teman dan tetangga. Mereka perlukan waktu untuk melapangkan masa bersama dengan orang terdekat. Inilah antara keprihatinan yang harus kita tumpukan di saat kita ghairah menyeru diligatkan kemajuan dan pembangunan.

Hanya dengan pembangunan yang manusiawi, bahawa kita dapat menjamin dasar dan praktis yang berihsani. Itulah yang diperlukan oleh para pekerja kita, termasuk saya, dan anda pembaca.

HARI KERAMAT

Sesungguhnya Hari Buruh 1 Mei ini adalah hari keramat untuk kita saling beringat. Saya yakin pekerja bukan meminta disanjung tetapi mengharapkan sama kita fikirkan kesejahteraan dan kebajikan yang lebih besar dalam masyarakat.

Yakni pertimbangan adil yang terencana dalam praktis, selain dapat memikirkan sejumlah ratusan yang menganggur tidak bekerja, serta gerombolan anak-anak muda yang bakal memasuki dunia pekerjaan sejurus selepas tamat pendidikan.

Mencapai dunia yang adil bukanlah angan-angan kosong. Ia harus diusahakan dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Sepanjang zaman, kita telah melihat perubahan yang sedikit memperbaiki kebajikan para pekerja, walaupun tidak sempurna.

Asal kita terus berpegang dengan cita-cita ini, makanya ia membekali kita kesadaran dan prinsip bahawa keadilan dan kesejahteraan yang dapat diberikan kepada semua, dan pastilah para pekerja yang paling terpenting di antaranya.

Moga Hari Buruh ini menjadi renungan cita kita bersama.

MENGENAI PENULIS:

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

- BERITAmediacorp/fz

 

 

Scroll to Top