The potential of language as a powerful platform for society is explored

The potential of language as a powerful platform for society is explored

July 13, 2021

(Article is in Malay Language)

13 July 2021, Berita Harian Singapore

Rencana
Potensi bahasa sebagai wadah perkasa masyarakat dikupas
NUR DHUHA ESOOF

KONSEP bahasa liberatif, yang melawan penyenyapan dan mendorong pemerkasaan, dapat dilihat dalam bidalan dan peribahasa orang Melayu yang diturunkan oleh nenek moyang dari berdekad lalu.

Antaranya ialah peribahasa lama 'raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah' yang bererti raja (pemerintah) yang adil disayangi dan raja yang tak adil (zalim atau menindas) dilawan, kata pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim Alwee di sesi Ceramah Arif Budiman ke-17 baru-baru ini.

"(Peribahasa) itu dari mana? Itu belum ada zaman revolusi, belum ada demokrasi. Itu daripada nenek moyang kita yang tidak pernah tertulis dalam karya istana.

"Karya istana sebaliknya mengatakan betapa raja itu adil atau zalim, taatnya mesti mutlak. Berbanding dengan nenek moyang yang menurunkan raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Itu 'kan sisi liberatif, bahawa tidak boleh diinjak manusia," katanya.

Dr Azhar berkata demikian ketika memberi jawapan dalam soal jawab di hujung sesi yang diadakan di Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) yang disiarkan kepada lebih 130 peserta termasuk guru dan guru pakar menerusi sidang Zoom.

Beliau telah menyampaikan ucaptama di ceramah itu yang membawa judul 'Menjejaki Bahasa Liberatif dalam Lingkungan dan Sejarah: Potensi dan Hambatan'.

"Bidalan Melayu... sebenarnya sangat mencerah. Bagaimana mengatur kepimpinan, apa yang dimaksudkan dengan, contohnya, pemimpin yang adil, pemimpin yang bongok, pemimpin yang bebal. Itu bidalan yang menerangkan. Kemudian setelah menerangkan, ada pantunnya pula. Itu luar biasa," kata Dr Azhar.

Beliau menambah, bidalan seperti itu harus diajarkan, di samping peribahasa yang menyentuh "hal-hal yang estetis".

"Bidalan kita lebih banyak daripada itu, yang tidak tersentuh, dan itu kita harus usahakan supaya kita dapat melihat sisi-sisi yang mencerah dalam kebudayaan," katanya.

Menerangkan lebih lanjut tentang bahasa liberatif, Dr Azhar berkata ia mempunyai sisi menguatkan, menyanggah, memberdaya dan mencerah.

Empat ciri ini adalah ciri positif, katanya.

Ini berbanding dengan lawannya iaitu bahasa dominatif, yang selalu menekankan satu sisi yang membelenggu dan mencengkam, menyangkak, mengkerdilkan, dan menyenyapkan idea seperti idea reformis atau pembaharuan.

Dr Azhar berkata adalah penting untuk membicarakan bahasa liberatif kerana bahasa dan pemikiran kita masih dibelenggu penjajahan, dan proses pemodenan bahasa belum tercapai atau tidak seiring dengan pemodenan idea.

Memberi contoh bahasa liberatif dilantunkan, beliau berkata tokoh kesusasteraan Melayu Munshi Abdullah telah melafazkan peri penting bahasa kepada peradaban dan kemajuan manusia.

"Munshi Abdullah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mengeluarkan masyarakat Melayu daripada kepompong. Itu sisi liberatif," katanya.

Dr Azhar menambah, bahasa liberatif boleh dibangunkan antara lain dengan menggunakan bahasa secara optimum dan terpakai luas dalam semua ranah kehidupan.

"Bahasa dominatif menghendaki penyenyapan, bahasa liberatif mengajukan keberanian melafazkan pembungkaman. Apabila bahasa dominatif semakin mapan, konsep kritis akan hilang; kelompok yang terdidik tidak lagi berminat untuk berwacana dan menjadi pasrah.

"Kemudian hal-hal bahasa diserahkan kepada kementerian dan pusat bahasa. Orang yang tidak mengajar tentang bahasa tidak lagi mahu peduli tentang hal bahasa. Mereka serahkan kepada cikgu-cikgu kanan untuk fikirkan.

"Bila terjadi itu, ia adalah sebahagian daripada penyeyapan. Hilanglah semangat solidaritas atau rasa kebersama," kata Dr Azhar.

Scroll to Top