COMMENTARY: Language Materials – Identity or Emancipation?

COMMENTARY: Language Materials – Identity or Emancipation?

September 22, 2021

(Article is in Malay Language)

19 September 2021, Berita Mediacorp Singapore

KOMENTAR: Bahana Bahasa – Jati Diri atau Emansipasi?
DR AZHAR IBRAHIM ALWEE

BERITAmediacorp: Bahana bahasa, yakni gemaan, bunyi atau gendangan sesuatu bahasa yang sering kita dengar dan terlazim, berlegar di sekitar persoalan jati diri atau identiti.

Ertinya bahasa dan jati diri sering digandingkan. Sehinggakan kita cepat dan bersedia memalitkan bahasa sebagai salah satu teras jati diri kita, selain tradisi agama dan adat resam yang terlazim dipakai dalam diri seseorang atau masyarakat.

Pasti persegandingan itu ada kewajarannya tetapi terpanggil pula untuk diperjelaskan mengapa semakin kuat bahana bahasa dan jati diri.

MELESTARIKAN BAHASA, MELESTARIKAN BUDAYA

Dalam konteks masyarakat majmuk, identiti kelompok (sering kali etnik, agama dan bahasa) menjadi simbol yang membeda dan mengkhaskan antara satu sama yang lain.

Maka lahirlah ungkapan, melestarikan bahasa juga bererti melestarikan budaya bangsa.

Sisi memelihara, mewarisi, menyambung terus dari generasi sebelumnya dianggap sebagai upaya murni, penting dan mesti diteruskan. Lantas dalam lembaran pendidikan, wacana kebudayaan di ranah awam dan kefahaman umum sering mengaitkan penguasaan bahasa sebagai penguatan budaya.

Ini juga munasabah betapa kita tahu peranan dan sifat bahasa tidak harus terbatas kepada perihal jati diri.

Sehinggakan jarang pula kita terdengar soal bahasa dikaitkan dengan emansipasi yakni bersangkutan dengan kesadaran untuk membangun bahasa dan kesadaran yang membebas, tidak terkongkong dan dibelenggu, ataupun setidaknya bahasa itu terkaya dengan asas intelektual yang kukuh.

Sebaliknya, dalam sejarah, malah boleh kita perhatikan bagaimana komponen jati diri dan emansipasi terangkum sama dalam gerakan nasionalisme melawan kolonial. Namun di era stabil pasca kemerdekaan, dengan politik identiti semakin gemencar, maka sisi emansipatif tidak kuat bahananya lagi. Yang tampil sering ialah bahasa dan identiti kebudayaan.

Sebagaimana dikatakan tadi, ini tentunya tidak menjadi masalah dan harus disambuti. Namun akan menjadi masalah apabila kefahaman bahasa dan identiti disempitkan dengan kecenderungan politik yang semakin kekananan sehingga bergema “segalanya dari kelompok kita, unggul, anggun dan haknya kita saja.”

Dengan sentimen politik berlegar dengan tanggapan “Kita” lawan Yang Lain” maka simbol identiti menjadi tarikan utama.

Bahasa yang mulanya menjadi alat pemersatu, menjadi alat untuk membedakan diri kita dari kelompok lain, khasnya yang bukan dari kelompok etnik dan agama kita. Syukur di tempat kita, tidak pula kita tersendat dengan faham jati diri seperti itu.

JATI DIRI YANG DICITRAKAN

Pentingnya kita merungkai persoalan keghairahan dan kepedulian tentang jati diri menjadi kian eksklusif dan taasub.

Persaingan ideologi semasa akhirnya membuat takrif kepada jati diri semakin sempit, malah galak eksklusivismenya.

Maka terpanggil kita untuk merungkai permasalahan ini, dengan mencari sebab musabab mengapa penyempitan ini berlaku dan apakah pula kesan kepada kehidupan bermasyarakat, selain menyarankan bagaimana dapat kita keluar dari sesakan dan gasakan idea dan pemikiran yang regresif ini.

Wacana jati diri terbentuk di saat kita sedang berghairah mencari keautentikan budaya, di era kesadaran etnik dan keagamaan sangat memuncak, di saat era pasca kemerdekaan di mana kita tampil untuk mentakrif negara-bangsa yang sedang dicipta.

Perhatikan dekad-dekad terdahulu. Rata-rata masyarakat waktu itu tidak menyebut, atau terlalu ghairah dengan persoalan jati diri. Persoalan maruah bangsa dan cekal bangun membina kemajuan bangsa dan negara diberikan keutamaan.

Jati diri pun sebagai istilah belum terpakai meluas dan kalaupun ada, pastinya ia tidak merujuk kepada pengertian etnik/bangsa.

Malah kekata bangsa itu sendiri sering juga dimaksudkan sebagai kualitas manusia (contohya dalam ungkapan, “Dia orang berbangsa”) yang memerikan kedudukan seseorang itu dari sisi budi pekerti, akhlak dan peribadi yang tangguh.

Lain perkataan, mengidentifikasi diri seseorang bukan pada jati diri etniknya semata, tetapi mutu keperibadian pada seseorang itu.
Menariknya dalam kalangan cendekiawan Melayu, hal bahasa menjangkau lebih daripada soal jati diri semata. Yang dikaitkan dengan bahasa adalah seperti “memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara ilmu” dan bahasa itu sebagai wadah pemersatu.

BAHASA PEMACU KEMAJUAN DAN PEMBANGUNAN

Cinta bahasa yang terlafaz oleh mereka bukan cinta hanya setakat untuk melestari budaya bangsa tetapi yang lebih penting iltizam membangun bahasa agar ia menjadi pemacu kemajuan dan pembangunan.

Di saat kita akur akan cita melihat bahasa kita maju berkembang, maka tawaran dari ikhtiar mengemansipasi bahasa sayugia diberikan perhatian.

Bahasa yang emansipatif itu memiliki ciri-ciri berikut:

  1. Bebas dan tidak terbelenggu oleh pola pemikiran atau gagasan tertentu. Contohnya dari cengkaman pemikiran kolonial atau minda tertawan;
  2. Bebas dari cengkaman hegemonik dari pemikiran patriakis, feudalis dan keagamaan yang eksklusif;
  3. Bebas dari populis kanan yang memancing sentimen cauvinis dan rasis -yakni bebas dari melihat bahawa hanya kita saja yang empunya kebenaran, kita yang paling bersih, kitalah yang paling berhak segalanya;
  4. Terbangun dari pemikiran yang humanis, demokratik dan inklusif;
  5. Merangkul kemajmukan sehingga bahasa itu benar-benar dapat terpakai dan dirasakan milik semua;
  6. Terkaya dengan konsep kritis dan transformatif sehingga ruang idea dan pemikiran menjadi anjal untuk menjana konsep-konsep penting;
  7. Pola atau orientasi pemikiran yang bersedia menyerap idea dan gagasan baru sehingga ranah bahasa terbangun sama dan kemudian pula menjadi wadah untuk menggerakkan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Apa yang disebut di atas lantas harus dibedakan daripada cabaran-cabaran berikut:

  1. Sikap tradisionalisme bahasa yang berkeras tidak mahu menerima arus perubahan yang perlu;
  2. wujudnya kependetaan bahasa yang tinggi di menara tetapi tidak tumbuh secara organik dalam masyarakat dan hanya menetapkan hukum bahasa itu dan ini, tanpa mempertimbangkan keperluan dan kondisi semasa;
  3. bahasa sekolahan yang formal yang teratur dan bernahu baik tetapi tidak bisa berfungsi untuk mengungkapkan pengunaaan bahasa yang cerdas di luar bilik darjah;
  4. sikap pengguna bahasa yang semakin kerdil dan berandaian bahasa kita sendiri tidak perlu atau tidak akan dapat bersaing dengan bahasa dunia yang lain sehingga sikap ini akhirnya berhujung dengan kegagalan menghargai bahasa sendiri dan sanggup meninggalkannya.

Sesuatu bahasa itu tidak semena-mena menjadi besar dan terpakai meluas dek kerana ada penetapan dasar atau terpiagam dalam perundangan.

Politik bisa saja menetapkan apa bahasa itu rasmi atau nasional dan dikaitkan dengan warganya. Namun itu belum tentu menjadikan bahasa itu alih-alih tersiap sebagai bahasa yang berkesan dan berdaulat.

Bahasa itu hidup berkembang dan maju kerana dasar pemikiran yang menampungnya atau bahasa itu menjadi wadah untuk menampung gagasan idea dan pemikiran besar dan pesat.

Di sinilah letaknya peranan para bahasawan, pengkaji, penggubal dan pendidik bahasa untuk memastikan pendidikan dan wacana bahasa yang utuh.

Inilah sebenarnya sisi pengintelektualan dan pengilmuan bahasa supaya benar-benar ia menjadi alat komunikasi yang anjal dan ampuh untuk menampung idea, konsep, pemikiran dan praktis baharu yang deras masuk dalam setiap sudut kehidupan kita.

Kita di Singapura beruntung kerana bahasa Melayu diajarkan dari sekolah peringkat rendah sehingga boleh dilanjutkan ke peringkat kajian sarjana dan doktoral di NUS dan NIE,NTU.

Republik ini tidak kurang dengan ahli akademik yang berpengkhususan bahasa, selain ramai guru pakar yang dilahirkan dari sistem pendidikan kita.

Setiap tahun, Bulan Bahasa atas kelolaan Majlis Bahasa Melayu Singapura, dengan laungan “Cita, Citra dan Cinta”, tampil dengan sambutan merangkul pelbagai sektor masyarakat.

Ini adalah ikhtiar baik kerana pemasyarakatan citra dan cinta harus dapat subur terus dalam masyarakat, betapa lagi pemerintah memberi dukungan.

Apapun citra dan cinta bahasa tidak terlengkap padu sekiranya cita bahasa tidak terisi dengan kesadaran untuk membangun, memoden dan merancang agar bahasa kita menjadi wadah pengungkap ilmu dan teknologi yang produktif, selain mempertingkat kemampuan bahasa kita yang sekian lama menampung ungkapan daya fikir dalam ranah sastera, agama, seni budaya, wacana sosial dan pendidikan.

Semoga dalam semangat Bulan Bahasa yang berlangsung antara 14 Ogos hingga 10 Oktober ini ia akan menjana minat kita untuk menjenguk dan menilai persoalan mengembangkan bahasa kita.

Sekadar melafaz bahasa sebagai jati diri, kita belum lagi membenarkan bahasa berperanan semaksimumnya untuk pencerahan dan kemajuan. Itu akan tercapai, sekiranya kita memberi ruang kepada emansipasi bahasa.

Inilah yang harus terisi dalam fahaman cita bahasa. Dan bahana ini harus bergema dan dikumandangkan.

MENGENAI PENULIS:
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.

Scroll to Top