Deal with issues without gender, liberal labels
October 29, 2021
(Article is in Malay Language)
28 October 2021, Berita Harian Singapore
Bahasa & Budaya
Tangani isu tanpa label jantina, liberal
NUR FATHIN AWALLUDIN
MELABELKAN perbincangan mengenai jantina yang kritikal terhadap sesetengah amalan Islam sebagai idea 'feminis Barat' atau pandangan 'Muslim liberal' tidak akan membantu mengenal pasti dan mengesahkan isu-isu sebenar yang dihadapi wanita Islam.
Pada masa yang sama, melontarkan istilah-istilah seperti 'kelelakian toksik' dan 'patriarki' tanpa memahami isu berkaitan masalah menguruskan perubahan dalam masyarakat tidak akan menyumbang kepada penghapusan masalah tersebut.
Demikian menurut Sarjana Pengajian Melayu, Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman dalam ceramahnya bertajuk Renungan Masyarakat Muslim Singapura: Kemajuan dan Hambatan Kebudayaan yang disampaikannya awal bulan ini di Wisma Geylang Serai.
Ceramah tersebut adalah yang terakhir dalam Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu.
Ketinggalan budaya atau 'cultural lag', menurut beliau, mempengaruhi pelbagai bahagian budaya masyarakat, dan ini merupakan masalah kompleks yang menentukan rentak dan sifat penyesuaian perbahasan retorik.
"Pelabelan tidak akan membantu kita memahami dan membangunkan perspektif yang relevan dan berguna untuk menangani masalah berkaitan wanita," ujar beliau yang juga pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).
"Keadilan jantina mesti bermula dengan penerimaan perlakuan saksama terhadap wanita, dan sebarang perlakuan berbeza bagi wanita mesti beralasan dan wajar dengan mempertimbangkan cabaran, keperluan dan keadaan khusus yang dihadapi oleh wanita dalam masyarakat itu," tambahnya.
Isu kesenjangan jantina merupakan satu daripada tiga isu utama yang dibincangkan Profesor Madya Noor Aisha dalam ceramahnya itu.
Memberi contoh, beliau berkata bilangan wanita yang memegang peranan kepimpinan dalam pertubuhan-pertubuhan setempat termasuk dalam pertubuhan agama masih kurang.
"Wanita kurang diwakili dalam peranan kepimpinan dan kedudukan dalam badan-badan keagamaan kita sekalipun.
"Saya fikir para pemimpin Islam mempunyai peranan sangat penting untuk dimainkan kerana agama mempunyai potensi untuk membawa perubahan ini," ulasnya.
Profesor Madya Noor Aisha turut menyentuh isu berkaitan keagamaan dan mengetengahkan episod serangan 11 September sebagai salah satu kejadian yang telah menjejas masyarakat Islam Singapura.
"Umat Islam Singapura diminta menjelaskan agama mereka.
"Pemimpin Muslim terkemuka dan badan-badan Islam utama di Singapura diminta mengutuk serangan keganasan pada 11 September, sama seperti yang dilakukan seluruh dunia, dan secara tegas menolak sebarang tindakan tersebut yang tiada kaitan dengan Islam dan ajaran Islam," kata Profesor Madya Noor Aisha.
Namun, masalah keganasan sudah seolaholah difahami sebagai masalah budaya umat Islam dan pemahaman Islam.
Pengecapan (stigmatisation) Islam sedemikian rupa dikhuatiri boleh dimanipulasi dengan mudah sehingga menimbulkan kebencian terhadap masyarakat Melayu, yang rata-rata beragama Islam, tambah beliau.
Justeru, berikutan serangan 11 September itu, pemerintah mempelopori serangkaian inisiatif untuk meningkatkan perbincangan antara agama dan meningkatkan keharmonian antara kaum di sini.
Menyentuh sejarah Melayu pula, Profesor Madya Noor Aisha berkata sambutan dwiabad Singapura menyahkan naratif bahawa Singapura merupakan perkampungan nelayan yang longlai ketika Raffles tiba di sini.
"Pada awalnya, ramai orang, terutama masyarakat Melayu, melihatnya sebagai peluang menulis semula sejarah rasmi Singapura dengan memasukkan sejarah politik dan budaya prapenjajahan orang Melayu yang dikaitkan dengan Melaka dan kerajaan Srivijaya.
"Golongan elit Melayu melihat ini sebagai usaha penebusan sejarah orang Melayu sebagai orang asli Singapura," kata beliau.
Malah, buku Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays telah diterbitkan untuk mendokumentasi sumbangan masyarakat Melayu kepada Singapura.
Merumuskan ceramahnya, Profesor Madya Noor Aisha berkata, setiap daripada isu yang diketengahkannya menyentuh bidang dan cabaran berbeza.
"Bagaimana golongan elit dan cerdik pandai budaya kita menangani isu-isu tersebut bukan sahaja mencerminkan perspektif mereka terhadap isu itu, malah membentuk dan menentukan budaya, pemahaman sejarah dan kepentingan dalam mengemudi cabaran perubahan serta pembangunan kontemporari kita sebagai satu masyarakat," ujar beliau.
"Pelabelan tidak akan membantu kita memahami dan membangunkan perspektif yang relevan dan berguna untuk menangani masalah berkaitan wanita."
- Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman, pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).